Friday, May 22, 2015

Diet Vegetarian

Diet Vegetarian

Deskripsi
Sumber protein dalam diet vegetarian adalah daripada tumbuh-tumbuhan seperti kekacang, bijirin, ubi-ubian, bijian dan sayur-sayuran. Protein tumbuhan adalah protein berkualiti rendah di mana ia tidak mengandungi semua komponen asid amino perlu jika dimakan tanpa kombinasi yang betul. Walau bagaimanapun apabila sumber-sumber protein tumbuhan tersebut digabungkan dengan betul, ia akan menghasilkan sajian makanan yang mengandungi semua komponen asid amino perlu yang lengkap. Diet Vegetarian ini diamalkan oleh individu atas sebab agama, kesihatan, ekonomi, ekologi atau falsafah hidup.
Klasifikasi
Pengamal Vegetarian boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan utama iaitu :
  • Vegan
  • Mengambil makanan daripada sumber tumbuh-tumbuhan sahaja.
  • Lacto-vegetarian
  • Mengambil makanan daripada sumber tumbuh-tumbuhan, susu dan hasil tenusu.
  • Lacto-ovo-vegetarian
  • Mengambil makanan daripada sumber tumbuh-tumbuhan, susu, hasil tenusu dan telur.
Ciri-ciri Diet
Diet 'lacto-vegetarian' dan 'lacto-ovo-vegetarian' adalah sajian yang mempunyai semua komponen asid amino perlu yang lengkap. Ia boleh memberi nutrien yang mencukupi jika kuantiti adalah memuaskan. Manakala bagi 'vegan', kombinasi kumpulan makanan yang sesuai adalah diperlukan untuk memenuhi keperluan nutrien harian.
Diet vegetarian adalah lengkap dengan protein jika sumber protein adalah daripada sekurang-kurangnya dua daripada empat kumpulan makanan protein di bawah.
Kumpulan Makanan Protein
Empat kumpulan makanan digunakan untuk mendapatkan sumber asid amino perlu yang lengkap dalam diet seseorang vegetarian adalah seperti berikut :
Kumpulan 1
Bijiran, hasil bijirin dan ubi-ubian seperti beras, gandum, jagung, hasil beras (bihun, nasi), hasil gandum (roti, tepung), barli, oat, ubi kentang, keledek, keladi, ubi kayu dan sebagainya.
Kumpulan 2
Susu dan hasil tenusu seperti keju, susu, yogurt, tairu, dadih, panner (keju India), aiskrim bersusu dan sebagainya.
Kumpulan 3
Kekacang seperti kacang tanah, kacang kuda, kacang hijau, kacang pis, kacang dal, kacang merah, kacang soya dan hasilnya seperti tauhu, fucuk, tempe dan sebagainya.
Kumpulan 4
Biji-bijian seperti kuaci biji tembikai, kuaci biji labu, kuaci biji matahari dan bijan.
Kombinasi Kumpulan Makanan
Kombinasi mana-mana dua kumpulan makanan protein ditunjukkan oleh anak panah penyambung seperti dalam gambar rajah di bawah, akan membekalkan protein yang lengkap. Kombinasi makanan tersebut perlu diambil sekurang-kurangnya sekali pada setiap waktu hidangan.
Contoh Hidangan
Bil.KumpulanHidangan
1.Kumpulan 1 dan Kumpulan 2Roti dan Susu atau Hasil Tenusu
  • Capati atau puri dengan yogurt
  • Roti dengan keju
Nasi dan Susu atau Hasil Tenusu
  • Nasi dengan kari yogurt pekat
  • Puding beras dibuat daripada susu
Barli dan Susu atau Hasil Tenusu
  • Sup dibuat daripada barli dan susu atau yogurt
Bijirin dan Susu
  • Oat dicampur dengan susu
2.Kumpulan 2 dan Kumpulan 3Susu atau Hasil Tenusu dan Kekacang
  • Tosai dengan yogurt atau kari yogurt
  • Kacang dal atau kacang kuda masak dengan keju atau paneer
  • Kacang mata hitam dalam kari yogurt
  • Tosai dan dalca bersusu
3.Kumpulan 3 dan Kumpulan 4Bijian dan Kekacang
  • Pes biji matahari ditambah kepada pes kacang merah sebagai inti roti atau kuih
  • Bijan ditambah kepada petis rojak yang mengandungi kacang tanah
4.Kumpulan 4 dan Kumpulan 1Bijian dan Roti
  • Pes biji teratai dalam roti bun atau pastri
5.Kumpulan 1 dan Kumpulan 3Kekacang dan Nasi
  • Tauge, tauhu, tempe atau dalca dengan nasi
Kekacang dan Roti
  • Dalca dan capati atau puri
  • Kacang panggang ('baked beans') dengan roti
  • Mentega kacang ('peanut butter') dengan roti
  • Bubur kacang hijau dengan roti bun
Kekacang dan Mee
  • Mee dengan kuah rojak
  • Bihun goreng dengan tauhu dan taucu

Semakan akhir:19 April 2012
Penulis:Zarina bt. Samsudin

No comments:

Post a Comment

Komen